Monday 15 April 2019

5 Tempat Jalan-jalan Cari Makan UTAQHA (Utara)

Nasi Kandar adalah salah satu menu paling popular di kalangan masyarakat. Apabila menyebut nasi kandar, hubungkaitnya dengan Pulau Pinang tidak boleh diketepikan.
Oleh itu, deretan kedai atau gerai nasi kandar terdapat di Pulau Mutiara tersebut. Namun masih terdapat beberapa restoran nasi kandar yang terbaik di seluruh negara.
Tanpa menafikan kualiti dan kesedapan restoran nasi kandar rangkaian yang masyhur seperti Kayu, Subaidah, Pelita, Nasmir dan sebagainya, senarai ini sengaja memberikan perhatian kepada restoran atau gerai nasi kandar yang lain sebagai memberi peluang kepada perkembangan mereka. Malah ada di antara restoran ini yang menyajikan nasi kandar yang lebih sedap dan berperisa.
Kualiti sesuatu hidangan nasi kandar biasanya dikaitkan dengan kelembutan nasinya serta kesedapan campuran kuah karinya. Lauk pauknya yang pelbagai menjanjikan pilihan yang lebih luas untuk penggemar nasi kandar. Sungguhpun begitu, antara lauk yang paling popular adalah ayam goreng atau ayam madu, sotong, telur rebus goreng dan bendi rebus/kukus.
Bagi penggemar nasi kandar, kadangkala hidangan nasi dengan seketul ayam goreng sudah memadai jika dibumbui dengan campuran kuah yang bertepatan. Disini kami kongsikan nasi kandar terbaik seluruh Malaysia.

1. Jalal Nasi Kandar

Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis
Senarai nasi kandar terbaik dimulakan nun jauh di utara dengan Restoran Jalal Nasi Kandar. Antara nasi kandar paling popular, bukan saja popular tetapi juga amat sedap di Perlis. Jalal Nasi Kandar dianggap sebagai nasi ganja di Perlis.

Restoran ini tidak menyajikan lauk pauk yang terlalu banyak tetapi hanya lauk pauk asas nasi kandar seperti ayam goreng, sotong, udang, daging, telur dan juga sedikit sayuran seperti bendi dan kobis. Namun iatu sudah cukup untuk menarik ramai penggemar nasi kandar di negeri Perlis mahupun pengunjung dari luar.
Salah satu menu terbaik Jalal adalah ayam masak ros serta kari sotongnya amat memukau selera. Sesiapa saja mudah terliur dengan hidangan ini. Selain itu, kari ayam kampungnya juga antara yang terbaik. Campuran kuahnya adalah pengikat rasa yang menjadikan restoran ini pilihan ramai.
Walaupun harganya agak tinggi dengan kedudukannya di negeri Perlis, namun jika dilihat pada kualiti makanan serta servisnya, dengan pekerja dan tauke yang ramah, kita tidak akan berfikir banyak kali sebelum menikmati Nasi Kandar Jalal.

2. Nasi Lemak Haji Ali

Jalan Seberang Perak, Alor Star, Kedah
Nasi Lemak Haji Ali, walaupun disebut nasi lemak, pastinya ia lebih kepada hidangan nasi kandar. Restoran ini merupakan salah satu restoran nasi kandar pilihan pelanggan di Alor Setar selain Nasi Lemak Royale yang terkenal itu.
Pada malam terdapatnya perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Kedah, restoran ini akan menjadi tumpuan sejurus selepas perlawanan berakhir dengan para penyokong yang mahu menjamu selera.
Selain kehadiran penggemar tempatan, restoran ini juga menjadi tumpuan pelanggan dari luar yang berkunjung atau singgah di Alor Setar.
Seperti resam biasa nasi kandar, kekuatannya adalah campuran kuah kari yang amat sedap. Ayam madu dan ayam masala adalah antara menu yang paling popular selain menu biasa, ayam goreng. Malah nasi Restoran Haji Ali juga berperisa dan sedap.

Rasa masakan paru dan sotongnya juga agak sedap dan menyelerakan. Sungguhpun begitu, kuahnya dikatakan sedikit pedas dan kurang digemari sesetengah pengunjung. Tetapi kita boleh mengimbangkannya dengan kuah manis.
Servis di sini amat baik cuma kadangkala limpahan pelanggan yang terlalu ramai melambatkan servisnya. Harganya tidaklah terlalu mahal dan amat berpatutan.

3. Restoran Nasi Kandar Deen

Jalan Jelutong, 11600 Jelutong, Penang
Bercakap soal nasi kandar di Pulau Pinang, pastinya kita tidak boleh mengelak daripada memperkatakan tentang nasi kandar Deen.Walaupun Pulau Pinang dibanjiri dengan restoran nasi kandar terbaik seperti Line Clear, Kayu, Nasi Kandar Beratur, Shariff dan pelbagai nama lagi, namun Deen masih berada di situ sebagai salah satu yang terbaik malah ada yang mengatakan ia adalah yang terbaik dan bertaraf lagenda.
Menu nasi kandar Deen tidak terlalu banyak. Lauk pauknya hanyalah yang biasa iaitu ayam goreng, ayam kari, kari kambing, ikan, sotong, udang, telur sotong, telur, masak hitam daging serta sedikit sayuran tetapi cukup untuk menarik barisan panjang penggemar nasi kandar.
Kekuatannya adalah campuran kuah yang membanjiri nasinya yang panas. Anda jangan memandai-mandai membuat gabungan kuah, hanya biarkan sahaja pekerja di sini yang mencampurkan untuk anda. Pasti anda tidak akan kecewa sama sekali.
Ayam gorengnya adalah suku seekor ayam yang kecil tetapi ia digoreng rangup dan kita tidak akan tersedar menghabiskannya dengan amat cepat. Begitu juga ikan gorengnya yang juga rangup dan dagingnya yang amat lembut. Kari sotong dan telur sotongnya juga amat menyelerakan.
Walaupun restoran ini dibuka 24 jam, akan tetapi hidangan nasinya tidak dihidangkan pada waktu-waktu tertentu untuk pembersihan. Harga dan servisnya amat baik dan berpatutan dengan statusnya di Bandaraya Pulau Pinang.

4. Restoran Nasi Kandar P.Pinang

Berdekatan Billion Shopping Centre (Jalan Sultan Yahya Petra), 15200 Kota Bharu, Kelantan
Pantai Timur terutamanya Kelantan bukanlah syurga untuk penggemar nasi kandar kerana  kebanyakan penduduk tempatan lebih memilih nasi kerabu dan nasi ulam. Namun keperluan untuk menyajikan nasi kandar di Kelantan masih wujud bagi memenuhi selera pengunjung dari luar mahupun sesiapa saja yang gemarkan nasi kandar.
Sebagai menarik pelanggan, nama restoran Nasi Kandar Pulau Pinang digunakan untuk menyandarkan sajian di sini kepada keenakan nasi kandar dari Pulau Pinang. Namun ia bukan hanya pada nama kerana sajian nasi kandar di sini masih berkualiti dan sangat enak walaupun mungkin tidak setanding nasi kandar di Pulau Pinang.
Tetapi ia cukup untuk menghilangkan rindu kepada Pulau Pinang. Nasinya yang panas amat lembut dengan campuran kuah kari ala mamak penang menaikkan rasa dan aroma kari kandar yang amat menyelerakan.

Ramai juga penduduk tempatan yang tidak melepaskan peluang merasai sendiri keenakan nasi kandar di restoran ini. Dengan saingannya yang tidak begitu banyak, maka dengan mudah nasi kandar di sini boleh dinobatkan sebagai nasi kandar terbaik di Kelantan disokong oleh nasinya yang sedap dan servis yang agak baik serta harganya yang berpatutan.
Selain nasinya, restoran ini juga terkenal kerana roti tempayan atau roti naan dengan ayam tandoori yang dianggap terbaik di Kota Bharu.

5. Nasi Kandar Kampung Melayu

Jalan Pisang Tanduk, Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang
Berbicara tentang nasi kandar pastinya kita tidak boleh lari dari Pulau Pinang. Oleh itu, senarai ini terpaksa kembali ke Pulau Pinang. Kali ini, tumpuan kita adalah nasi kandar Kampung Melayu, Air Itam yang amat popular dikalangan masyarakat Pulau Pinang. Malahan keasyikan nasi kandar ini turut dihayati oleh pengunjung dari luar yang kadangkala sengaja dating awal ke Kampung Melayu semata-mata untuk menikmati nasi kandar ini.
Dibuka seawal pagi, ia menyajikan ayam goreng pada saiz yang besar, sotong yang gemuk penuh dengan telur dimasak berempah serta bermacam-macam lagi lauk pauk yang amat sedap. Juga terdapat kari kambing, kari ikan, udang, daging dan lain-lain. Sukar untuk menentukan lauk popular kerana hamper kesemuanya amat menyelerakan.


Anda perlu membiarkan pekerja di sini menggunakan kemahiran mereka mencampurkan kuah kerana hasilnya amat mengagumkan. Karinya dimasak menggunakan rempah buatan sendiri yang digiling dengan bahan-bahan terpilih. Tidak hairanlah rasanya amat unik dan tersendiri dengan perisa yang kuat dan beraroma. Ini dengan jelas meletakkan mereka berbeza dengan restoran nasi kandar yang lain.
Seawal pagi juga, kita boleh melihat barisan panjang untuk memesan nasi kandar di sini. Sungguhpun demikian, servis yang amat pantas dan efektif ini menjadikan masa sajianya cepat. Walaupun anda terperangkap di dalam barisan yang amat panjang, masa anda menunggu tidaklah terlalu lama.
Harganya amat berpatutan jika dibandinngkan dengan restoran nasi kandar yang lain menjadikanya pilihan utama nasi kandar di Pulau Pinang.

Kesimpulan

Senarai ini sekadar memberikan idea bahawa nasi kandar terbaik juga boleh didapati di seluruh pelusuk tanahair walaupun yang terbaik masih di Pulau Pinang.
Tidak hairanlah jika dua buah restoran dari Pulau Pinang berada di dalam senarai ini walaupun hakikatnya masih terdapat beberapa gerai nasi kandar terbaik di Pulau Pinang.
Apapun, setidak-tidaknya penggemar nasi kandar tidak perlu bimbang jika merantau ke utara kerana nasi kandar ini boleh didapati dengan mudah bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.:-)
Apa pendapat anda? Ada cadangan kedai nasi kandar lain?

1 comment:

  1. anda ingin bersiar-siar sambil mencari tempat juadah menarik? kami menyediakan kereta sewa alor setar atau kereta sewa airport alor setar untuk anda pandu sendiri menikmati suasana keindahan negeri jelapang padi.

    ReplyDelete